Tuesday, November 4, 2008

Salam persaudaraan

Salam ukhuwah saya panjangkan buat saudara-saudara yang membaca atau terbaca laman blog yang terpencil ini. Blog ini diwujudkan dalam rangka saya ingin menyampaikan dan merekodkan buah fikiran saya dalam apa jua lapangan. Ini merupakan catatan pertama saya dalam blog ini, sebagai suatu langkah permulaan. Jika tiada yang pertama, maka tiadalah yang kedua dan seterusnya.

Biarlah terlebih dahulu saya memperkenalkan diri seringkasnya sebagai salam perkenalan di alam siber ini. Saya dilahirkan lebih tiga dekad lalu di sebuah bandar besar, dan diberikan pendidikan yang kiranya bolehlah saya membaca dan menyampaikan kembali sesuatu hasil pembacaan dan pengalaman hidup yang telah dilalui di masa lampau. Sedikit sebanyak saya mempunyai minat yang mendalam dalam pelbagai bidang terutamanya yang berkaitan dengan alam dan sejarah kemanusiaan, serta apa jua yang berkait rapat dengan keduanya.

Kata orang dahulu, hidup ini merupakan rantaian-rantaian masalah, di mana kita harus menyelesaikan segala masalah sekeliling kita samada kita suka atau tidak. Kenyataan ini adalah benar, walau dari sudut mana sekalipun kita melihatnya. Oleh kerana itu kita manusia diberikan akal untuk berfikir dengan sebaiknya bagi merungkai segala permasalahan hidup ini, dari yang sekecil-kecilnya hinggalah masalah yang terbesar. Mungkin kita akan dapat bercerita mengenainya dari semasa ke semasa pada masa akan datang, jika diizinkan Tuhan. Sekadar itu buat kali ini.